Advertisement

PKR Terengganu mengadu ‘dibuli’ PAS semasa PRU13

PKR Terengganu mengadu ‘dibuli’ PAS semasa PRU13

PKR Terengganu mendedahkan parti itu sering dibuli PAS negeri dalam perebutan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mac tahun lalu.

Wakilnya PKR Terengganu Azlan Che Mat berkata, mereka bukan saja dibuli Umno tetapi dipermainkan rakan parti Pakatan Rakyat (PR) sendiri sehingga menyebabkan mereka menangis.

"Kami dimomok, diinjak-injak.

"Tak tahulah saudara pengerusi perhubungan saya (Azan Ismail) macam mana, dia ada perasaan atau tidak.

"Walaupun kita diinjak-injak oleh parti Umno yang kita cukup sedih cukup menangis, kita diinjak-injak rakan kita PAS Terengganu," katanya ketika berucap di Kongres PKR di Stadium Malawati Shah Alam, hari ini.

Azlan kemudian merayu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberikan bantuan kepada PKR Terengganu merampas semula negeri itu daripada Umno untuk PR.

Katanya, PKR Pusat perlu tegas dan jangan takut dengan pemimpin PAS Terengganu.

"Kembalikan semula kemenangan daripada tangan Umno untuk PR tetapi kami lihat PAS Terengganu masih tidak bersedia untuk bersama PR.

"Minta tolong datang ke Terengganu buat pembetulan balik, bantu bentuk satu sekretariat Terengganu," katanya.

Selain berlakunya perebutan kerusi dengan PAS, PKR pada PRU13 tewas di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Terenggganu kecuali DUN Bandar yang dimenangi Azlan. – 23 Ogos, 2014.