Wanita Umno sokong Najib, hormat Dr Mahathir, kata Shahrizat

Subjek Sejarah sekolah rendah tidak pupuk semangat cinta negara, kata Shahrizat

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menghormati pandangan dan kritikan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak, namun berkata sayap Umno itu tetap menyokong kepimpinan perdana menteri.

Shahrizat berkata, transformasi dilakukan Najib bukan perkara mudah dan kebijaksanaan Ahli Parlimen Pekan itu mentadbir negara berjaya memastikan Barisan Nasional (BN) kekal memerintah.

"Transformasi yang dipimpin oleh Najib bukanlah satu perkara yang mudah. Kebijaksanaan, keterbukaan dan sifat inklusif beliau menentukan BN terus menjadi kerajaan Malaysia dalam mempertahankan keselamatan dan pembangunan rakyat, terutama di kala pihak pembangkang bertalu-talu cuba mengkucar-kacirkan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Pada masa yang sama, Wanita Umno menghormati dan menghargai cadangan, idea serta kritikan yang dilontar mana-mana pihak apatah lagi dari mantan presiden Umno, Dr Mahathir mahupun Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Dr Mahathir menerusi blognya www.chedet.cc berkata beliau terpaksa menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan Najib kerana dasar dan tindakan beliau tidak berkesan.

Katanya, berdasarkan situasi semasa negara, kepimpinan Najib perlu diperbaiki, justeru beliau terpaksa mengambil pendekatan menghentikan sokongannya supaya Najib mempelajari sesuatu.

"Harapan saya Najib akan mengambil ikhtibar daripada prestasinya yang buruk dalam PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13). Malangnya, sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan daripada segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Najib," kata Dr Mahathir dalam blognya itu.

Shahrizat berkata, sokongan Wanita Umno kepada Najib kerana visi, kekuatan dan kebijaksanaan Najib memahami tuntutan dan lanskap politik, ekonomi dan sosial masa kini dalam menentukan Malaysia terus demokratik, aman, membangun dan dihormati di peringkat global.

"Jasa dan sumbangan Dr Mahathir amat Wanita sanjungi. Kepimpinan hari ini oleh Najib tepat pada masanya dan disokong penuh oleh Wanita.

"Saya percaya keakraban dan perkongsian pendapat di antara Najib dengan Dr Mahathir mampu membawa kekuatan kepada Umno dan BN terutama di kala membincang isu-isu yang kritikal untuk negara, 'umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak'," katanya.

Terdahulu, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) meminta Dr Mahathir menghentikan "perang dingin" secara terbuka dengan Najib.

Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata Dr Mahathir boleh menyuarakan sebarang teguran secara kekeluargaan kepada Najib dan bukannya mengkritik secara terbuka.

"Mubarak amat kesal dengan kritikan terbuka yang diluahkan Dr Mahathir terhadap kepimpinan Najib.

"Implikasi keterbukaan ini akan merosakkan perjuangan yang Dr Mahathir sendiri akui masih belum selesai, lebih-lebih lagi ia kini mengelirukan anggota parti dan rakyat keseluruhannya," kata Abdul Aziz.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut mempertahankan Najib sebagai pemimpin berani.

Hishammuddin turut memuji cara Najib mengendalikan krisis MH17 baru-baru ini.

"Kalau Najib tidak buat tindakan berani berdepan dengan pemisah (Ukraine), tidak mungkin saya mampu berdiri hari ini untuk uruskan ketibaan jenazah," katanya. – 20 Ogos, 2014.