PKR enggan letak Khalid jadi calon PRU13, kata pemimpin PAS

PKR enggan letak Khalid jadi calon PRU13, kata pemimpin PAS

PKR tidak mahu meletakkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) walaupun mempunyai rekod yang cemerlang, kata pemimpin PAS Khalid Samad.

Ahli Parlimen Shah itu berkata, PAS tidak bersetuju kerana khuatir kesan keputusan itu terhadap pilihan raya.

"Ketika PRU13, PKR memaklumkan kepada PAS mereka tidak lagi mahu Khalid bertanding," katanya pada satu forum malam tadi.

"Pemimpin PAS bagaimanapun tidak bersetuju dengan PKR kerana tanpa Khalid, rakyat Selangor akan mula membuat spekulasi siapa bakal menteri besar.

"Itu mungkin mengakibatkan Pakatan Rakyat kehilangan negeri terkaya di Malayasia kerana pengundi khuatir PAS dan DAP mungkin mengetuai Selangor,” katanya.

Khalid berkata, derdasarkan faktor itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju meletakkan Khalid Ibrahim sebagai calon pilihan raya.

"Anwar juga menunjukkan sikap positif Khalid dengan memilih kerusi boleh menang, kerusi Pelabuhan Klang," kata Khalid, pada forum di Dewan Himpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCH), di Kuala Lumpur malam tadi.

Selepas PRU13, Khalid berkata, menteri besar Selangor itu berubah dan mengadakan perjanjian untuk mewujudkan jawatankuasa pemandu bagi membincangkan hal dasar.

"Sebelum pilihan raya, beliau bersetuju untuk membentuk jawatankuasa pemandu melibatkan tiga wakil dari PAS, PKR, dan DAP.

"Tujuannya adalah untuk membincangkan isu dasar di Selangor, sekurang-kurangnya sekali seminggu atau dua minggu," kata Khalid.

Selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar untuk penggal kedua, beliau bagaimanapun merungut kerajaan Pakatan di Pulau Pinang dan Kelantan tidak mempunyai jawatankuasa sedemikian.

"Meskipun begitu, PAS memberi peluang untuk beliau membuktikannya dirinya dan memberikannya peluang selama setahun," kata Khalid dalam forum berkenaan.

"Beliau sangat berbakat dalam politik korporat, beliau berikan PAS 'layanan istimewa' selepas PKR mendesaknya untuk berundur."

Menteri besar itu sering mengemukakan laporan kepada PAS sekali setiap dua minggu apa yang berlaku di Selangor, menjadikan PAS melihatnya sebagai mangsa.

"Anggota exco PAS juga dilayan lebih baik berbanding rakan mereka dari DAP dan PKR, jadi PAS melihat PKR ada masalah dengan Khalid," katanya.

Khalid Samad berkata, "Langkah Kajang" diilhamkan Anwar bukan berkenaan individu atau Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

"Tujuannya adalah bukan untuk menggantikan Khalid, tetapi mengharapkan beliau berubah," katanya.

"Kami mahu beliau berubah, cara pengurusan, menjadi lebih berpasukan."

Dr Dzulkefly Ahmad berkata, meskipun beliau dan Khalid merupakan bekas sahabat, isunya bukan mengenai prestasi menteri besar Selangor.

"Seseorang tidak boleh mengetuai organisasi tanpa bertanggungjawab terhadap pihak berkepentingan.

"Isunya bukan mengenai surplus RM3.2 bilion yang berjaya Khalid kutip di Selangor, tetapi sama ada beliau mampu membawa misi dan visi PR di Selangor.

"Kita perlukan menteri besar yang berpasukan, mendengar pendapat pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat."

Speaker lain dalam forum itu adalah Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat dan pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari. – Ogos 18, 2014.