Isu agama dan perkauman tidak sepatutnya dicetus, diperbesar: Leo

0

MIRI: Isu agama dan perkau­man tidak sepatutnya dice­tuskan dan diperbesarkan, terutama di negeri Sarawak, kerana ia boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

Ahli Parlimen Mukah mer­angkap Presiden Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak Dato Sri Muhammad Leo Toyad berkata, rakyat di negeri ini perlu belajar dan men­gambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara-negara yang bergolak dan berperang sesama mereka, gara-gara isu agama dan bangsa yang per­besarkan.

“Ia sebenarnya hanya satu isu yang kecil, namun apabila ada pihak yang enggan menerima kenyataan berkaitan agama dan bangsa, maka ia diperbesarkan hingga akhirnya mencetuskan pertumpahan darah dan seter­usnya peperangan.

“Di Sarawak contohnya, dalam satu keluarga, kita ada ahli keluarga beragama Islam dan ada juga Kristian, namun kita masih dapat tinggal ber­sama dan menerima kenyataan ini kerana masyarakat kita berfikiran terbuka dan saling menghormati.

“Itulah yang membezakan kita di Sarawak dengan neg­eri-negeri lain khususnya di Semenanjung Malaysia dan negara lain yang bergolak kerana isu agama dan bangsa,” ujarnya.

Leo berkata demikian se­masa berucap merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Persatuan Melanau Miri (PMM) yang dianjurkan di premis persatuan itu di Wisma Melanau dekat sini, petang semalam.

Dalam perkembangan berkaitan beliau turut mengge­sa ahli-ahli persatuan itu untuk terus mengekalkan kerjasama dan semangat perpaduan di kalangan masyarakat Melanau yang terdiri daripada Melanau Islam dan Kristian.

Pada masa yang sama katan­ya, mereka juga perlu menye­barkan semangat perpaduan itu di kalangan masyarakat Melanau di luar sana, agar mereka kekal bersatu padu dan menjalin semangat muhibah dengan pelbagai kaum di negeri ini, yang membentuk kestabilan politik, ekonomi dan perpaduan rakyat.

Hanya dengan demikian ka­tanya, masyarakat Melanau da­pat melangkah seiring dengan kaum lain dan bersama-sama menikmati hasil pembangunan dan kemajuan yang dicapai negara ini.

Pada majlis itu, Leo turut menyerahkan sumbangan PMM kepada 20 anak yatim, 10 penerima e-Kasih dan men­yampaikan insentif kepada anak-anak ahli yang cemerlang dalam pendidikan dan peperik­saan awam.

Beliau turut mengumum­kan peruntukan bagi dana pendidikan PMM berjum­lah RM5,000 manakala Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang yang turut hadir pada majlis tersebut, mengumum­kan peruntukan berjumlah RM4,000.

Turut hadir Presiden PMM Datuk Alexander Maiyor serta pengerusi majlis Abdul­lah Jaini.