42 panggilan diterima daripada Zakia Aleip sejak diculik

Koperal diculik kumpulan bersenjata di Mabul dibebaskan

Sebanyak 42 panggilan diterima daripada anggota Pasukan Polis Marin, Konstabel Zakia Aleip sejak diculik di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai lalu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Jalaluddin berkata Zakia diberi ruang untuk membuat panggilan telefon kepada keluarga, isteri, ibu bapanya serta pegawai polis dan setiap panggilan kepada anggota keluarganya sentiasa dipantau polis.

Melalui panggilan telefon itu, konstabel itu memberitahu mereka sentiasa berpindah kerana diburu pihak berkuasa Filipina, kata Jalaluddin kepada pemberita.

Beliau ditemui pada majlis serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan, di Kota Kinabalu hari ini.

Jalaluddin berkata mangsa berada dalam keadaan selamat dan rundingan masih dijalankan dalam usaha untuk membebaskannya daripada penculik berkenaan.

Dalam kejadian pukul 11.10 malam pada 12 Julai lalu, Zakia, 26, diculik selepas sekumpulan lelaki yang menggunakan senjata berat menyerang hendap pasukan keselamatan di Pulau Mabul. Seorang anggota polis yang dikenali sebagai Ab Rajah Jamuan, 32, terkorban dalam insiden berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Jalaluddin mahu Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah khususnya Jabatan Siasatan Jenayah supaya memberi fokus dan mempertingkatkan lagi keupayaan untuk menyelesaikan kes jenayah.

Katanya setiap kes terutama berprofil tinggi perlu mempunyai pasukan petugas supaya ia dapat diselesaikan dengan cepat termasuk pengurusan barangan kes.

"Ini adalah amanat masyarakat kepada Polis Kontinjen Sabah. Jadi perkara-perkara ini perlu dilihat secara bersama," katanya. – Bernama, 11 Ogos, 2014.