Singapura akan sesuaikan kadar tol Malaysia di Tambak Johor

Singapura akan sesuaikan kadar tol Malaysia di tambak, kata LTA

Jika tol baru dikenakan atau kadar tol dinaikkan oleh Malaysia di Tambak Johor, kerajaan Singapura akan menyesuaikan pelaksanaan tol baru dan kenaikan kadar tol itu dalam masa terdekat, kata Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA)

Ini kerana menjadi amalan kerajaan Singapura untuk menetapkan kadar tol Singapura supaya disesuaikan dengan kadar yang ditetapkan oleh Malaysia di Tambak dan Link Kedua, kata jurucakap LTA dalam satu kenyataan hari ini.

Berhubung pertanyaan media, jurucakap itu menarik perhatian kepada laporan media bahawa Lembaga Lebuhraya Malaysia akan menaikkan kadar tol bagi semua kenderaan, kecuali motosikal bagi perjalanan dari Singapura ke Johor melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) berkuatkuasa mulai 1 Ogos, 2014.

Jurucakap itu berkata perubahan kadar tol itu adalah berbeza dengan pengumuman Malaysia sebelumnya untuk melaksanakan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) ke atas kenderaan asing yang memasuki Johor.

"Kerajaan Singapura belum menerima apa-apa maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia mengeni tol baru atau kenaikan bayaran tol dan meminta pengesahan rasmi daripada kerajaan Malaysia berhubung laporan media itu.” – Bernama, 28 Julai, 2014.