Ada apa dengan Tuhan (Bahagian 2)

Dunia ceritanya adalah tentang nafsu dan hal. Cakaplah apa saja samada berlandaskan agama, politik mahupun kehidupan, kiblatnya adalah wang dan kuasa. Kita yang bernafsu ini penuh dengan kehendak dan mimpi indah duniawi walaupun mulut kita sering mengatakan misi kita adalah ukhrawi.

Nyatalah kita secara tidak langsung masih bertuhankan duit dan kuasa. Segala hal-hal yang berkaitan hanyalah penyebab cuma.

Kita bercakap tentang Tuhan pencipta alam, yang sifatnya bersalahan dengan yang baru itu, dalam masa yang sama kita pula lebih berminat akan ganjarannya walau kita kata sangat takut akan Dia.

Akhirnya terpaksalah kita akui kita hidup di dunia ini hanyalah untuk sesuatu yang lebih jelas dan realistik sifatnya.

Dia bukannya benda, Dia bersalahan dengan yang baru dan Dia hanyalah Dia semata. Mengapa kita tidak mengejar Dia semata kerana tuntutan dan nikmat yang paling nyata adalah apabila kita mengenalnya setelah mendalami makna demi makna sehingga ke titik, untuk sebuah permulaan.

Nyatalah kita pun kelam-kabut berpusing-pusing mencari makna kebenaran yang hanya nampak di mata, malah kita tidak akan merasai hadirnya dalam jiwa, jika segala kemahuan hanyalah sekadar di pinggiran sahaja.

Duit juga adalah kiblat kita secara tidak langsung. Dengan duit yang banyak kita mampu memiliki segalanya di dunia ini, untuk memuaskan nafsu dan kehendak kita, walau siapapun kita. Kita mahu rumah besar, kereta besar, segalanya yang besar-besar belaka.

Saya bekerja dari siang ke malam untuk cari duit, untuk meneruskan kehidupan. Berjuta para warga keluar pagi balik malam, pun untuk duit. Pengemis mengemis untuk duit juga. Penagih dadah sanggup buat apa saja demi untuk mencari duit untuk membeli dadah.

Beza kita dengan penagih, mereka mencari duit untuk membeli dadah. Maknanya yang paling penting adalah dadah, tapi sebab perlu dibeli dengan duit, mereka terpaksa mencari walau apa cara dan jalan sekalipun. Kalau dapat free itu lagilah mereka suka.

Dan seperti biasa masyarakat dan sekelilinglah yang akan menjadi mangsa, kehidupan mereka bulak balik hanya berlegar di sekitar akal yang berkiblatkan dadah.

Kita pula akan mencari duit sebanyak yang mungkin untuk mengembangkan empayar nafsu kita sekembang yang boleh, seluas yang boleh. Sehingga timbul sifat tamak dan haloba dalam diri.

Apabila segalanya tidak menjadi dalam hidup kita, akan datang nilai insaf dalam diri untuk lebih menjurus ke arah ilmu kejiwaan demi untuk mencari kebenaran. Apa itu kebenaran?

Maka dengan tahap kefahaman masing-masing dalam mengenal apa itu Tuhan atau Pencipta, mereka pun mula merapatkan diri dengan agama berpandukan apa yang mereka mahu dan faham.

Mereka menggali segala makna kebaikan demi untuk mendapatkan pahala dan ganjaran. Yang tersembunyi yang katanya rahsia itu mengapa tidak mahu digali dan disingkap tabir rahsianya?

Maka mereka akan mengatakan yang bersangkut paut dengan zat itu jangan dikaji. Habis kita bergerak ini semangatnya datang dari mana? Nafas yang kita hirup ini datangnya dari mana? Gerak yang datang ini siapa yang menggerakkan?

Tidak hairan kerana agamalah juga kita saling bercakaran berpandukan hukum yang kita percaya.

Cuma pendekatan manusia sebenarnya lebih kepada syurga dan neraka, dosa dan pahala, bukannya pada pencipta alam.

Apabila niat kita berbuat sesuatu itu hanya untuk ganjaran dan syurganya, nilai ikhlas itu terhadap pencipta syurga kuranglah dari segi peratusnya. Perbuatan berlandaskan niat. Kita lebih tahu apa dan siapa kita sebenarnya.

Itu belum kita lihat isu di Gaza dan kekejaman Israel. Bagaimana kita nak membantu sesama agama, sedang kita juga negara Arab sendiripun bercakaran sesama sendiri? Negara-negara besar bercerita dan mempraktikalkan tentang apa yang mereka miliki, kuasa dan senjata. Siapa kuat dialah kudrat.

Jika kita kata kita beribadat kerana Tuhan, sampaikah ibadat kita itu? Kerana jika ia sampai, kita akan lebih rasional dan bijak sebab Tuhan tidak akan suka manusia bergaduh dan membunuh antara sesama mereka apatah lagilah jika seagama apatah menjadikan nafsu dan emosi sebagai tunjang dalam kehidupan ini.

Jika itu hasilnya, nyata solat kita malah ibadat kita hanya berlegar di sekitar ruang, perasaan dan angan-angan sahajalah atau dalam istilah sains, bersenam. Kerana jika ia masuk dan menyentuh ke jiwa, biasa hasilnya akan lebih baik dan jika kita mengenal diri dan siapa kita ini, kita akan lebih mengerti mengapa kita ini diwujudkan ke mukabumi ini.

Apabila kita fikir dan kaji sedalamnya, kita akan bersetuju bahawa alam dan kehidupan ini dirosakkan oleh kita sendiri, para manusia yang penuh dengan pelbagai ragam dan sifat, disebabkan nilai kehendak dan nafsu.

Penagih dadah hanya merosakkan diri mereka sendiri, di mata masyarakat mereka dihina, tapi nilai kehendak mereka terhadap dunia sangat minimum sebenarnya. Apabila sampai masa, mereka juga akan pulang kepada pencipta. Mereka menerima perjalanan takdir baik dan buruk yang sedang mereka hadapi di dunia ini.

Pulang dalam keadaan yang kosong adalah yang terbaik bagi seorang insan yang akan mengadap Tuhannya. Segala angan dan hal dunia perlu kita enyahkan kerana semua itu hanyalah ilusi belaka. buktinya apabila ianya terjadi , itu hanyalah memori belaka yang tidak dapat kita capai atau mengambilnya kembali.

Orang gila juga begitu, apabila terputus hubungan mereka dengan dunia lantaran gagal mengseimbangkan antara perhubungan akal dan jiwa, maka segala yang berlaku adalah dalam perencanaan Tuhan belaka. Pulang mereka masih di dalam dakapan kasih sayang juga.

Hanya kita yang masih terkial-kial dalam ketakutan menghitung pahala dan dosa, mengangankan syurga semoga dijauhkan neraka, cinta kita kepadaNya seperti perkiraan matematik. Kita bukannya nak Dia, melainkan syurga dan ganjaranNya.

Begitulah tahapnya perhubungan kita dengan Tuhan, memang jauhlah kalau begitu...

Ganjaran terbaik bagi kita, apabila bangun pagi, terbuka mata, kita masih bernafas dan diberi kesempatan hidup. Segala anggota masih berfungsi, makan minum masih ada rasa dan nikmatnya, syukur, itulah ganjaran yang masih diberi untuk kita, selagi mahuNya.

Dan, yang paling penting-masih boleh buang air kecil dan besar dengan selesa...Terima kasih Tuhan! – 24 Julai, 2014.

* Ada apa dengan Tuhan (Bahagian 1).

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.