ICAO dan PBB mesti pastikan mereka bertanggungjawab terima hukuman setimpal, kata PKR

Kerajaan Ukraine dan Russia mesti jalankan siasatan menyeluruh dan bawa ke muka pengadilan mereka yang bertanggungjawab atas tragedi pesawat MH17, walaupun sekiranya ia melibatkan kumpulan pemberontak, kata William Leong Jee Keen.

Katanya, kerajaan Malaysia harus meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua pihak terlibat dalam Konvensyen Chicago Penerbangan Awam Antarabangsa 1944 untuk mematuhi semua peraturan dan amalan antarabangsa berkaitan penerbangan awam.

Kejadian tersebut menunjukkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan masyarakat dunia mesti mengambil langkah sewajarnya memastikan keselamatan ruang udara Ukraine dan Russia bagi mengelak tragedi berulang, kata ahli Parlimen Selayang daripada PKR itu.

Ia perlu dilakukan untuk memastikan kejadian sama tidak berulang dan mereka yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal.

"Dakwaan mereka mengatakan pesawat itu terbang di kawasan perang tidak boleh diterima," katanya dalam satu kenyataan hari ini mengulas kejadian kapal terbang terhempas di sempadan Ukraine dan Russia malam tadi.

"Ia mencabuli Perkara 3 Konvensyen Geneva yang menyatakan orang awam tidak boleh diserang walaupun semasa perang terbuka dan menjadi satu jenayah perang untuk menembak MH17 atau mana-mana pesawat komersial.

"Tindakan menembak jatuh pesawat komersial yang tidak terlibat dalam sesuatu konflik ialah tidak masuk akal dan pengecut. Ia satu pembunuhan," kata Leong.

Katanya serangan tersebut juga mencabuli Protokol Montreal 10 Mei, 1984 yang menghalang penggunaan senjata atas penerbangan awam dan penumpang di atas kapal atau membahayakan mereka.

"Kerajaan Ukraine mesti jalankan tugas dan tanggungjawab antarabangsanya untuk membawa mereka bertanggungjawab ke muka pengadilan walaupun penyerang itu merupakan pemberontak.

"Kerajaan Russia mesti siasat dan ambil tindakan ke atas mereka bertanggungjawab membantu pemberontak di dalam insiden itu," kata Leong merujuk kepada tindakan kumpulan pemberontak pemisah yang dikatakan menembak jatuh pesawat MH17 mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk tiga bayi. – 18 Julai, 2014.