Elfira Loy bakal merayakan Aidilfitri di Lombok!


12 Jul – Aktres kacukan Melayu, Cina dan juga Arab ini bukan sahaja berbakat sebagai seorang model dan pengacara, malah kini sudah menceburkan dirinya dalam bidang perniagaan pula.

Walaupun masih menuntut di sebuah kolej swasta dalam bidang seni hiburan, anak gadis kepada pasangan Ahmad Sabri dan Filzah Yusoff ini tetap mencuri masa memberi tumpuan kepada bisnes skaf dan t-shirt rekaanya yang dijual menerusi media sosial Instagram.

Berkesempatan menemui Elfira di Majlis Pelancaran Program Raya Astro bertempat di Hotel Royale Chulan baru-baru ini, kami sempat bertanyakan beberapa soalan kepada pelakon muda ini mengenai perkembangan terkininya baik mengenai kehidupan peribadi mahupun kerjaya seninya.

Jom kita ikuti temubual eksklusif ini!

Assalamualaikum & Hai Elfira!
Waalaikumussalam, hai apa khabar semuanya, harap anda sihat sentiasa sepanjang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan ini.

Pertama sekali, boleh ceritakan serba sedikit persiapan dan aktivti Elfira semasa menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, adakah Elfira bakal pulang beraya ke kampung?
Pada Aidilfitri kali ini kami sekeluarga membuat persiapan serba sederhana kerana tidak pulang beraya ke kampung pada hari raya pertama nanti.

Sebenarnya, saya dan adik-beradik beserta ibu dan ayah kami akan pergi bercuti ke Lombok, Indonesia dan akan menghabiskan masa di sana selama lima hari.

Mengapa pada kali ini Elfira sekeluarga membuat keputusan untuk merayakan lebaran di sana?
Saya dan keluarga memang suka bercuti dan beraya di tempat-tempat sebegini yang terletak di pulau kerana suasananya yang tenang dan damai, sesuai untuk merehatkan minda dan tenangkan fikiran. Pada hari-hari biasa saya dan keluarga memang sukar untuk bertemu dan meluangkan masa kerana sibuk dengan aktiviti dan kerja masing-masing. Jadi kebiasaanya pada hari raya kami akan meluangkan masa bercuti di tempat-tempat seperti ini.

Sebelum ini kami pernah ke Bali, jadi untuk berubah angin dan melawat tempat-tempat yang berlainan, maka kali ini kami memilih Lombok kerana air pantainya yang bersih dan nyaman.


Selalunya pada hari raya kita akan melawat saudara mara dan meluangkan masa bersama mereka, mengapa Elfira tidak melakukan sedemikian rupa seperti yang kerap dilakukan orang masyararat Malaysia umumnya?
Bukan begitu, saya tetap akan melawat saudara mara saya selepas kami sekeluarga pulang dari bercuti nanti. Lazimnya, kebanyakan saudara mara saya akan berpuasa enam selepas meraikan hari raya pertama Aidilfitri. Jika kami berkunjung dan melawat ianya sedikit kurang meriah kerana tiada hidangan juadah dan perlu mengurangkan aktiviti kerana berpuasa. Kebanyakan saudara mara sememangnya menetap di sekitar Kuala Lumpur dan kami memang kerap berjumpa, jadi ia tidak menjadi masalah jika tidak berjumpa di awal musim perayaan nanti.

Adakah Elfira akan mengadakan rumah terbuka pada tahun ini khas buat peminat anda?
Sebelum ini, saya belum berkesempatan untuk mengadakan rumah terbuka khas buat peminat di luar sana kerana sibuk dengan kerja. Kini, memandangkan saya masih belajar sambil bekerja dan masih lagi tidak mempunyai masa untuk berbuat demikian dan berharap agar dapat melakukannya di masa akan datang bagi menghargai peminat yang tidak pernah putus menyokong karier saya selama ini.

Masih lagi mengenai raya, ramai peminat di luar sana ingin mengetahui kuih raya pilihan Elfira dan mengapa anda menggemarinya?
Secara jujur dan ikhlas, saya memang tidak menggemari kuih raya kerana tak suka sangat makanan yang bertepung. Memang saya tak berapa layan biskut raya sangat. Saya suka makan nasi dan memang itu makanan kegemaran saya pada musim raya atau pun di luar musim raya. Jika orang datang berkunjung ke rumah saya pun, saya akan jamu nasi kepada mereka kerana semua orang menyukainya. Cumanya jika pada hari raya saya suka pada juadah rendang.

Selain bergelar seorang pelakon, khabarnya Elfira juga sedang menjalankan perniagaan secara 'online' bukan, boleh ceritakan secara ringkas mengenai perkara tersebut?
Ya, kini saya ada menguruskan sebuah perniagaan secara 'online' dan ianya menggunakan nama saya sendiri sebagai jenama Twinkle by Elfira. Saya pasarkan barangan yang dijual melalui Instagram dan jika mempunyai kelapangan, saya dengan bantuan adik-adik dan kawan-kawan akan membuka gerai di beberapa tempat. Di antara barangan yang dijual adalah skaf, t-shirt dan 'cover' telefon bimbit. Rekaan dan motif merupakan idea bersama rakan sekolej dan kami akan memikirkan tema apa yang sesuai untuk diletakkan pada barangan tersebut. Kebanyakan rekaan mempunyai corak yang unik dan digemari ramai. Alhamdulillah setakat ini sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. Saya juga tidak mempunyai masalah menguruskannya kerana ada orang lain turut sama membantu menguruskan butik 'online' ini.


Bagaimana Elfira mendapat idea untuk menghasilkan rekaan tersebut dan ada perancangan untuk mengembangkan lagi bisnes anda?
Idea bagi menghasilkan rekaan tersebut selalunya datang secara kebetulan. Contohnya, semasa pergi bekerja sambil bercuti di Thailand baru-baru ini saya ada melawat satu tempat yang menghasilkan berbagai-bagai jenis reka bentuk motif dan berharap sangat tempat tersebut akan ada di Malaysia satu hari nanti. Saya teringin nak buat sendiri corak-corak macam tu dan akhirnya dapat idea untuk lukis semasa berada di dalam sebuah van dan apabila pulang ke Malaysia saya suruh rakan sekelas saya untuk fikirkan tema bersama-sama.

Saya ada merancang untuk mengembangkan lagi bisnes ini dengan mengadakan koleksi 'ready to wear' dan dalam masa yang sama saya bercita-cita untuk menjadi 'trendstter' untuk koleksi rekaan skaf saya yang mana ianya sesuai digayakan untuk mereka yang berhijab mahu pun tidak.

Menyentuh mengenai perkembangan kerjaya Elfira sebagai insan seni, apa perkembangan terkini dan projek terbaru anda?
Untuk projek akan datang, saya ingin memberikan fokus kepada bidang pengacaraan pula di mana program "Mad Markets" musim kedua akan ke udara tidak lama lagi. Selain itu, saya juga akan terlibat di dalam sebuah program baru berjudul "Dunia Didi" siaran RTM. Program ini merupakan program baru khas buat kanak-kanak di mana ada siri animasi, fesyen dan kraf kanak-kanak.

Saya ingin peminat di luar sana melihat saya juga berbakat sebagai seorang pengacara, dan tidak hanya fokus kepada satu bidang sahaja iaitu lakonan.

Baiklah, sampai di sini sahaja temubual kita kali ini, ada ucapan khas yang ingin diberikan kepada peminat anda di luar sana?
Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada peminat yang tidak jemu memberikan sokongan dan dorongan kepada saya sepanjang saya berada di dalam dunia seni ini. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya nak ucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat hari raya Aidilfiitri buat anda semua yang bakal menyambutnya tidak lama lagi. Maaf zahir dan batin.

Terima kasih Elfira!
Sama-sama, terima kasih semua dan jumpa lagi!