Kajian Merdeka Center bukti rakyat Selangor gembira prestasi Khalid

Khalid is legitimate Selangor MB for now, says state legal adviser

Walaupun Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sering diasak melepaskan jawatan menteri besar Selangor, hasil kajian Merdeka Center menunjukkan rakyat negeri itu gembira dengan prestasi kepimpinannya.

Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Kim berkata kajian yang dijalankan dari 16 Mei hingga 6 Julai tahun ini menunjukkan 54% responden bersetuju kerajaan negeri berada pada hala tuju yang betul manakala 28% lagi berkata sebaliknya.

"Sebanyak 72% responden berpuas hati dengan kualiti hidup dalam masyarakat manakala 25% lagi tidak.

"Seramai 3,472 responden berpandangan kerajaan negeri berada pada hala tuju yang betul manakala 12% memuji pentadbiran negeri dan 11% lagi gembira dengan pembangunan pesat negeri," katanya pada satu sidang media di Shah Alam, hari ini.

Kajian yang dijalankan ke atas 6,436 responden itu meliputi 8 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan 56% Melayu, 29% Cina dan 14% India.

Antara PBT yang terlibat ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Kira-kira 800 responden terlibat dalam setiap PBT membabitkan mereka yang berumur 21 tahun ke atas.

Teng berkata hasil kajian itu juga menunjukkan 62% responden berpuas hati dengan perkhidmatan PBT yang diukur berdasarkan perkhidmatan kaunter, telefonis, aduan dan sistem dalam talian.

Katanya, isu tempatan yang paling menjadi perhatian responden adalah infrastruktur awam serta jenayah dan keselamatan awam.

"Isu semasa yang mendapat perhatian responden ialah bekalan air dan elektrik, kos kehidupan tinggi, jenayah dan keselamatan awam.

"Jumlah peratusan ini agak menggembirakan kerana kaji selidik ini dijalankan ketika isu bantahan cadangan pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) dan isu rampasan Bible bahasa Melayu mendapat liputan luas media," katanya.

Semalam, Khalid bertegas tidak akan berundur daripada kedudukannya walaupun menerima tekanan hebat daripada Pakatan Rakyat.

Katanya, beliau hanya akan berundur sehingga tiba pilihan raya umum akan datang.

Majlis Presiden Pakatan Rakyat dijangka akan membincangkan kedudukan Khalid dalam mesyuarat sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menggesa pemimpin Pakatan supaya berhenti menyerang dan menuntut Khalid meletak jawatan segera.

Katanya, keputusan untuk mana-mana pemimpin meneruskan tanggungjawab mereka terletak kepada PKR dan Pakatan. – 17 Julai, 2014.