Kerajaan patut terima kritikan, Khairy sokong hapus larangan kritik kerajaan

Lewat bela kes Chong Wei untuk pastikan kes kukuh, kata Khairy

Pemuda Umno menyokong peruntukan yang melarang kritikan terhadap kerajaan di bawah Akta Hasutan 1948 tidak dimasukkan ke dalam Akta Keharmonian Nasional ‎(NUCC).

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menyokong peruntukan itu dihapuskan kerana tidak relevan lagi dalam arus demokrasi moden.

"Wujud peruntukan dalam Akta Hasutan kalau timbulkan kebencian terhadap kerajaan adalah satu kesalahan.

"Kerajaan patut terima kritikan. Kami rasa dalam demokrasi moden kini ia sudah tidak masuk akal," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno di Bangunan PWTC di Kuala Lumpur, hari ini.

Namun, katanya kritikan terhadap beberapa prinsip tidak boleh dikompromi terutamanya membabitkan isu diraja, agama, kaum.

Katanya, beberapa “garis merah” (isu sensitif antara kaum) turut ditekankan jika NUCC diwujudkan bagi menggantikan Akta Hasutan, antaranya dasar kerajaan berkaitan Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

"Walaupun tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi ia berasaskan semangat Perkara 153. Jadi, perkara ini tidak perlu dianggap sebagai satu bentuk diskriminasi," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata pihaknya akan membangkitkan cadangan ke mesyuarat Kabinet esok supaya Bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) dikenakan kepada rakyat Singapura yang mahu masuk ke Malaysia, sama seperti dilakukan kerajaan republik itu.

Katanya, negara akan rugi dari segi pendapatan jika tidak mengenakan bayaran kepada rakyat Singapura yang menggunakan jalanraya dan bebas keluar masuk Malaysia tanpa melangsaikan hutang saman.

"Mereka menyebabkan kesan kepada ribuan rakyat tempatan yang pergi ke Singapura.

"Jadi adil kepada kita juga kerana kita nak guna duit untuk menyelenggara jalan yang mereka gunakan," katanya.

Beliau yakin warga Singapura tidak akan berasa terjejas dan akan masuk ke Malaysia seperti biasa jika caj kenderaan dikenakan.

Bermula 1 Ogos ini, VEP bagi kenderaan asing berdaftar ke Singapura dinaikkan dari S$20 (RM51) kepada S$35 (RM90) sehari, manakala bagi motosikal asing berdaftar kekal pada S$4 (RM10) setiap hari.

VEP bagi Permit Kenderaan Barangan (GVP) dan kenderaan asing berdaftar juga akan dinaikkan kepada S$40 (RM102) berbanding S$10 (RM25) sebulan.

Kenaikan itu dikecualikan bagi kenderaan awam, bas atau teksi. – 15 Julai, 2014.