Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah selamat, boleh digunakan, kata Zambry

Perak MB’s father dies at 73 – Bernama

Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, yang sebelum ini berdepan masalah lubang benam, adalah selamat dan kini boleh digunakan, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (gambar).

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi minggu lepas.

"Beliau memaklumkan kepada saya bahawa (berdasarkan) laporan yang beliau (Abdul Aziz) terima LTSAS boleh digunakan, maksudnya ia selamat digunakan dan tidak ada lagi kebimbangan mengenai lubang benam yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Ipoh, hari ini.

Justeru, katanya kerajaan negeri meminta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi membuat kenyataan bersama dengan pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi mengembalikan keyakinan orang ramai untuk menggunakan semula LTSAS.

Zambry berkata kerajaan negeri menjangkakan pesawat Boeing dan Airbus yang lebih kecil akan menggunakan lapangan terbang itu namun ia bergantung kepada laporan DCA dan kajian teknikal berhubung landasan berkenaan.

"Lapangan terbang itu boleh digunakan bila-bila masa sahaja dari sekarang tetapi saya perlu menunggu (Datuk) Nolee dan pihak DCA bersama-sama membuat pengumuman rasmi. Adalah lebih baik pihak berkuasa berkenaan untuk mengumumkan secara rasmi," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga menerima beberapa cadangan daripada syarikat penerbangan untuk memulakan operasi masing-masing di Ipoh yang dilihatnya sebagai petanda baik untuk pembangunan negeri Perak.

Pada 18 Februari lepas, Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Perak melahirkan dukacita dan kecewa apabila Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta syarikat perunding pembinaan bagi kerja naik taraf LTSAS gagal mengemukakan laporan kajian penuh seperti yang dikehendaki jawatankuasa itu.

Laporan itu diminta apabila PAC Perak mendapati landasan LTSAS tidak boleh digunakan pesawat lebih besar selepas kerja pemanjangan serta pelebaran bernilai RM15.22 juta selesai dilaksanakan.

Antara punca landasan yang dinaik taraf itu tidak boleh digunakan kerana berlakunya sembilan lubang benam pada struktur tanah landasan itu.

Kos menaik taraf LTSAS yang bermula pada April 2011 dan siap pada November 2012 itu bernilai RM37.6 juta dan ia sepatutnya mula beroperasi pada Januari 2013.

Antara kerja-kerja menaik taraf LTSAS ialah memanjangkan landasan daripada 1,780 meter ke 2,000 meter untuk membolehkan pesawat lebih besar seperti Boeing 737 dan Airbus A320 mendarat selain meningkatkan kemudahan di Kompleks Kastam dan Imigresen serta kemudahan pengangkutan awam. – Bernama, 9 Julai, 2014.