Penstrukturan GLC untuk ‘singkir pekerja tidak produktif’, kata MB Selangor

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penstrukturan semula ahli lembaga pengarah ‎anak syarikat kerajaan negeri dilakukakn untuk menyingkirkan "pekerja yang tidak produktif".

Selain menambah baik prestasi syarikat, Khalid berkata tindakan itu untuk mengkaji semula prestasi syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"‎Mesyuarat Majlis Kewangan Negara turut mencadangkan supaya sumber dan aset GLC perlu sentiasa dipantau," katanya kepada pemberita di Subang Jaya, hari ini.

Ditanya sama ada tindakan itu untuk menyingkirkan kroni Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dalam GLC, Khalid berkata penyingkiran hanya akan dilakukan kepada ahli yang tidak produktif.

"Kita akan singkirkan yang tidak perlu sahaja," katanya.

Beliau berkata, kajian semula akan dilakukan jika perlu untuk menambah baik kedudukan sesebuah syarikat, namun tidak akan berbuat demikian terhadap syarikat yang menunjukkan prestasi baik.

Menurut Khalid, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak tersenarai di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) kerana ia syarikat di bawah akta negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin hari ini mengumumkan kedudukan pengerusi syarikat, ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi di semua anak syarikat milik penuh kerajaan Selangor yang diletakkan di bawah MBI akan dikaji semula.

Faekah berkata, tumpuan khusus akan dilakukan ke atas keanggotaan ahli lembaga pengarah dan akan dilaksanakan secara berperingkat, dimulai dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad ( PNSB).

"Langkah ini bagi memastikan ahli lembaga pengarah yang dilantik itu terdiri daripada profesional berkelayakan serta berpengalaman yang berupaya membawa anak-anak syarikat terlibat dan MBI ke tahap lebih tinggi dan yang lebih penting, mampu membawa polisi dan aspirasi kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sasaran ini akan mudah dicapai jika ahli lembaga pengarah anak syarikat ini dilantik daripada kalangan profesional dan berkelayakan yang mampu memberi nilai tambah kepada anak-anak syarikat yang terlibat.

Terdapat 12 anak syarikat MBI iaitu KSSB, PNSB, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC), Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSSB), Tourism Selangor Sdn Bhd, Rantaian Mesra Sdn Bhd, dan Majlis Sukan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd.

Turut tersenarai Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), Bukit Beruntung Golf & Country Resort Berhad dan Yayasan Dar Al Qard Al Hasan Selangor. – 8 Julai, 2014.