Pegawai Malaysia tidak boleh dibicarakan di mahkamah Malaysia, kata peguam

Pegawai Malaysia tidak boleh dibicarakan di mahkamah Malaysia, kata peguam

Peguam kanan di Kuala Lumpur percaya kerajaan Malaysia tidak mempunyai pilihan tetapi membiarkan pegawai yang dituduh melakukan pecah rumah dan serangan seksual di New Zealand dihantar balik ke negara itu dan dibicarakan di sana.

Ini kerana mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Di Luar Negeri 1976, kesalahan yang dilakukan oleh pegawai itu tidak terpakai dalam kes ini untuk mewajarkan dia dibicarakan di mahkamah di Malaysia.

Akta itu bertujuan menguruskan kesalahan tertentu di bawah undang-undang bertulis yang dilakukan di mana-mana tempat di luar kawasan Malaysia dan di laut lepas dalam mana-mana kapal atau dalam mana-mana pesawat yang didaftarkan di Malaysia atau selainnya, seolah-olah kesalahan itu dilakukan di Malaysia.

Kebanyakan peguam kanan berkata amatlah sukar bagi Pegawai Waran II daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) itu dan bertugas di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand untuk didakwa di negara ini kerana kesalahan itu tidak tertakluk di bawah akta itu dan juga kesalahan dilakukan di negara lain.

Bekas Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berkata berdasarkan kesalahan, beliau tidak fikir pegawai terbabit boleh dibicarakan di negara ini.

"Menurut akta itu, jika seseorang melakukan kesalahan di luar negara di bawah Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi, dia boleh didakwa atau dibicarakan di negara ini. Saya tidak fikir kesalahan yang dilakukan oleh pegawai itu boleh dibicarakan di negara ini," katanya.

Pada Selasa, Wisma Putra mengumumkan pegawai itu akan dihantar kembali ke Wellington selepas kerajaan New Zealand mendesak supaya tertuduh dibicarakan di sana.

Mohamed Yusof menjelaskan bahawa sebarang kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang perwakilan kuasa diperakui oleh peguam negara sebagai boleh menjejaskan keselamatan negara, maka ia boleh dibicarakan di negara ini.

"Saya fikir di Perancis, negara itu mempunyai undang-undang yang meletakkan bidang kuasa umum berhubung jenayah yang dilakukan oleh, atau terhadap rakyat negara itu, tidak kira di mana kesalahan itu mungkin dilakukan tetapi di Malaysia, ia terbatas " kata beliau.

Lagipun, Mohamed Yusof yang kini seorang peguam berkata jenayah itu dilakukan di New Zealand dan oleh itu, negara itu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes.

Peguam kes jenayah, Edmund Bon berkata mahkamah Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu memandangkan jenayah dilakukan di luar negera.

"Amat sukar bagi pegawai itu untuk menjawab tuduhan di sini kerana jenayah itu dilakukan di New Zealand," kata beliau.

Ketika ditanya tentang imuniti diplomatik pegawai berkenaan, beliau berkata mengikut Common Law, ia hanya terpakai dalam menjalankan tugas sebagai diplomat.

"Imuniti diplomatik tidak meliputi kesalahan seksual, jika anda melakukan jenayah, ia tidak terpakai," kata peguam itu.

Pada 1 Julai, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kementerian menyokong keputusan Wisma Putra untuk menarik balik imuniti diplomatik pegawai itu untuk membolehkannya didakwa mengikut undang-undang New Zealand.

Pegawai itu ditahan oleh polis New Zealand pada 9 Mei atas tuduhan melakukan pecah rumah dan melakukan serangan seksual ke atas wanita berusia 21 tahun.

Dia didakwa di mahkamah New Zealand sehari kemudian kerana melakukan pecah rumah dan melakukan serangan seksual dengan niat untuk merogol tetapi perintah dikenakan untuk melindungi identitinya.

Tertuduh ditangkap selepas dia dikatakan mengekori wanita itu ke rumahnya pada 9 Mei dan menyerangnya. – Bernama, 4 Julai, 2014.