Catuan bekalan elektrik ekoran masalah penyaluran gas ke stesen janakuasa

Catuan bekalan elektrik ekoran masalah penyaluran gas ke stesen janakuasa

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini berkata catuan bekalan elektrik dilaksanakan pada waktu beban puncak secara bergilir-gilir dengan tempoh maksima selama tiga jam bagi setiap giliran di beberapa tempat di pantai timur dan barat Sabah.

Catuan itu dilaksanakan berikutan masalah penyaluran gas ke stesen janakuasa bebas (IPP) milik Kimanis Power Sdn Bhd (KPSB) dan SPR Energy Sdn Bhd, katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

SESB berkata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memaklumkannya penyaluran gas ke kedua-dua stesen janakuasa bebas itu akan dihentikan sehingga awal minggu depan.

Selain catuan beban, pengurusan beban pengguna terhadap pengguna kuasa besar turut sama dilaksanakan bagi membantu mengurangkan keperluan membuat catuan elektrik yang lebih meluas dan lebih lama kepada pengguna, katanya.

Kata kenyataan itu kekurangan margin kapasiti penjanaan di dalam Sistem Grid Sabah juga disebabkan oleh beberapa stesen IPP lain seperti Stesen Janakuasa Libaran yang masih tidak dapat dioperasikan dan Stesen Janakuasa ARL Tenaga yang hanya dua daripada empat set janakuasa sahaja yang beroperasi.

SESB berkata manakala kebanyakan Stesen Janakuasa SESB sudah uzur dengan purata hayat 29 tahun tidak lagi boleh diharap menjana elektrik secara stabil dan perlu diganti atau diperbaiki.

Stesen IPP yang baru itu amat diharapkan bagi membantu meningkatkan kestabilan Sistem Grid Sabah, katanya.

Usaha juga sedang dibuat melalui beberapa inisiatif projek baru untuk mengimbangkan syer penjanaan di antara IPP dan SESB di Sabah yang pada ketika ini berada pada tahap 71% IPP dan hanya 29% SESB, katanya.

Sebagai panduan kepada pengguna, jadual catuan bekalan elektrik berkaitan dimuatnaik di laman sesawang rasmi SESB dan jadual itu boleh dilayari dan dikemaskini setiap hari di www.sesb.com.my.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai gangguan bekalan elektrik, pengguna boleh juga menghubungi talian Hotline SESB di 15454 ataupun 088-515000.

SESB akan berusaha sebaik mungkin untuk mengambil tindakan ke atas semua aduan yang dibuat melalui saluran itu.

Khamis lepas stesen janakuasa Kimanis Power mengalami masalah tekanan gas mengakibatkan bekalan elektrik tidak dapat dijana dan kira-kira 90 megaWatt tenaga elektrik hilang daripada Sistem Grid Sabah yang menjejaskan bekalan elektrik kepada 10,000 pengguna. – Bernama, 22 Jun, 2014.