Advertisement

Polis buru tahanan lolos dari mahkamah George Town

Polis Johor jumpa syarikat keselamatan susulan kejadian amuk

Seorang lelaki yang sepatutnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di George Town hari ini kerana memiliki dadah, meloloskan diri selepas kenderaan polis yang membawanya tiba di perkarangan mahkamah itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata suspek dikenali sebagai Mohamad Faisal Naina Mohamad, 40, digari secara berangkai bersama-sama 14 orang kena tuduh (OKT) lain sebelum dia secara tiba-tiba melepaskan diri selepas dibawa turun daripada kenderaan itu.

"Suspek berada di barisan paling hujung secara tiba-tiba dapat melucutkan tangan daripada gari dan melarikan diri dengan memanjat pagar mahkamah," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Ditanya kemungkinan gari yang diguna tidak berkunci atau longgar, Mior Faridaltrash berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata pegawai penyiasat merekodkan keterangan dua anggota polis pengiring OKT berkenaan dan mereka turut disiasat kerana disyaki cuai menjalankan tugas.

Mior Faridaltrash berkata polis melancarkan "Ops Kesan" untuk menjejaki suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit diminta menghubungi balai polis berdekatan.

Beliau berkata suspek yang beralamat terakhir di Bagan Jermal, Butterworth, berketinggian kira-kira 170 sentimeter, berambut lurus pendek, memakai baju-T kelabu dan seluar warna gelap ketika melarikan diri.

Lelaki terbabit ditahan di Taman Tun Sardon kerana disyaki memiliki dua tiub dadah jenis heroin pada Jumaat lepas dan mendapat perintah reman bermula 14 Jun berakhir hari ini. – Bernama, 17 Jun, 2014.