Tahniah Mah, namun PRK Teluk Intan bukan mimpi indah BN dan Umno.

Tidak terlewat untuk saya mengucapkan tahniah kepada Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong yang berjaya memenangi semula kerusi Parlimen Teluk Intan (P76) Sabtu lalu menewaskan 'bintang baru' DAP, Dyana Sofya Mohamad Daud dengan majoriti 238 undi.

Tahniah juga saya ucapkan kepada semua jentera parti Barisan Nasional (BN) terutama sekali Umno kerana berjaya menewaskan DAP di Parlimen Teluk Intan, kerusi yang dimenangi mereka sejak 2008.

Kemenangan itu juga meningkatkan jumlah kerusi Parlimen milik BN di Dewan Rakyat yang akan bersidang semula Isnin depan kepada 134 kerusi serta menyaksikan dua ahli Parlimen baru akan mengangkat sumpah iaitu Mah dan Ramkarpal Singh Deo, anak Karpal Singh berjaya mempertahankan kerusi yang dimenangi mendiang ayahnya di Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei lalu.

Sesungguhnya kemenangan Mah lebih menarik untuk diperkatakan daripada kejayaan Ramkarpal mempertahankan kerusi mendiang ayahnya di Bukit Gelugor kerana selain menumbangkan setiausaha politik Penasihat DAP, Lim Kit Siang, ia juga seakan memberikan harapan baru kepada Gerakan, yang dilihat seperti 'hidup segan mati tidak mahu' selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Apa tidaknya, Gerakan selepas PRU13, Mei 2013 hanya mempunyai seorang wakil ahli Parlimen yang dimenangi Liang Teck Meng, setiausaha parti berkenaan di kerusi Parlimen Simpang Renggam sekali gus memberikan petanda negatif kepada parti komponen BN itu, yang penubuhannya bermula sebagai parti pembangkang di Pulau Pinang.

Pelbagai analisis, rumusan dan huraian dibuat pelbagai pihak daripada penganalisis politik, ahli akademik sehinggalah kepada rakyat biasa atas kemenangan 'luar biasa' Mah di Teluk Intan memandangkan bekas timbalan menteri itu, sebenarnya bukan berdepan dengan Dyana tetapi keluarga Lim iaitu Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng.

Kekuatan personaliti Mah di kalangan penduduk tempatan Teluk Intan juga merupakan faktor utama kemenangannya memandangkan beliau datang daripada keluarga berada yang banyak menabur jasa dan budi kepada pengundi Teluk Intan.

Berikutan kemenangan itu juga, Mah kini sudah boleh menuntut 'hadiah' daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjawat jawatan menteri Kabinet sebagai habuan seperti yang dijanjikan kepadanya pada hari terakhir kempen PRK P76 sebagai apa yang disifatkan strategi politik yang mengena umpannya iaitu pengundi Teluk Intan.

Namun dalam kegembiraan meraikan kemenangan Mah di kem BN dan Umno, adakah majoriti 238 undi itu benar-benar menjadi bukti pengundi separa bandar sudah beralih kepada parti BN.

Saya tidak mahu ahli dan pucuk pimpinan BN dan Umno terbuai-buai dengan kemenangan Mah di Teluk Intan seperti terus meraikan kejayaan Umno mendapat 88 kerusi Parlimen pada PRU13 lalu, sehingga menimbulkan rasa bongkak dan riak sekali gus menyebabkan rakyat meluat.

Ini kerana bagi DAP dan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang, mereka sudah dapat mengetahui pola pengundi di kawasan separa bandar yang pengundinya majoriti kaum Melayu seperti di Kajang atau kaum Cina di Teluk Intan.

'By losing a battle you find new way to win the war'. Ungkapan Inggeris ini, kini digunakan pucuk pimpinan dan pakar strategi pakatan pembangkang dalam merencanakan serta memikirkan strategi baru bagi menghadapi BN dan Umno.

DAP sedar keputusan meletakkan Dyana dalam PRK Teluk Intan sebenarnya, adalah pertaruhan paling besar yang dibuat parti berkenaan selepas mendapat kejayaan cemerlang dalam PRU13 lalu.

Bagaimanapun, mereka juga sedar kemenangan dengan calon 'favorite' parti berkenaan tidak akan mengubah sebarang status quo di Dewan Rakyat atau menumbangkan BN sebagai kerajaan pemerintah.

Mereka (DAP) sama sekali sedar 'habuan' paling utama yang dinantikan adalah PRU14 dan sebab itu, parti yang sering dilabelkan 'cauvinis' itu, mengambil pendekatan untuk 'test the water' .

Bagi DAP walaupun kalah di Teluk Intan, parti berkenaan sudah mempunyai 'bintang' baru yang sudah pasti diketengahkan dalam PRU14 lalu, dan tidak perlu bersusah payah lagi untuk memperkenalkan Dyana kepada pengundi.

PRK P76 menjadi gelanggang terbaik untuk memperkenalkan Dyana di pentas politik Malaysia, dan dengan segala pujian, kritikan dan cemuhan yang dihadapi gadis Melayu profesional berusia 27 tahun ini, saya perlu akui seluruh Malaysia sudah mengenalinya.

Satu hakikat yang sebenarnya, gagal dieksploitasi sepenuhnya oleh BN serta Umno dalam memperkenalkan calon muda bagi menghadapi PRU14 dan sudah pasti Dyana boleh bertanding di mana-mana sahaja di semenanjung Malaysia termasuk bertanding berlawan dengan saya di kerusi Parlimen Pulai (sememangnya tidak asing bagi Dyana).

Terus terang saya katakan dalam usia 27 tahun, Dyana sudah mendapat segala publisiti yang diperlukan dalam menyiapkan diri menjadi wakil rakyat DAP dalam PRU14 dan jika dibandingkan dengan diri saya pada usia berkenaan yang baru menceburkan diri dalam politik, tiada siapa mengenali saya kecuali sebagai anak arwah Tok Mat, setiausaha agung Umno ketika itu.

Inilah kelebihan yang diperoleh Dyana dan DAP bagi menghadapi PRU14 dan untuk seorang 'rookie' tetapi berjaya mendapat jumlah undi sebanyak 19,919, ia tetap sesuatu yang membanggakan bagi seorang calon 'payung terjun'.

Sesuatu yang perlu dibimbangi Umno, adalah peningkatan undi Melayu yang diterima Dyana dalam PRK Teluk Intan dan ia membuktikan pengundi Melayu kini, tidak lagi mengundi berasaskan parti tetapi turut mengambil kira soal bangsa calon berkenaan.

Selain itu, jika diteliti kepada jumlah undi yang diperoleh Mah, ia turut memperlihatkan presiden Gerakan berkenaan mendapat semua undi yang diperolehnya ketika PRU13 lalu dengan penambahan undi tidak sampai 500 undi bagi menewaskan Dyana.

Senario ini, perlu dibimbangi pakar strategi Umno dan BN dalam menyediakan rumusan serta strategi paling ampuh bagi menghadapi PRU14 dalam tempoh empat tahun akan datang.

Meneliti pula strategi DAP dalam PRK Teluk Intan jelas membuktikan parti berkenaan begitu bergantung kepada sokongan pengundi luar yang tinggal di kawasan bandar, juga seharusnya sudah sedar daripada lamunan sikap terlalu yakin terhadap sokongan golongan berkenaan membawa padah sehingga kalah di Teluk Intan.

Malah, pada awal-awal kempen PRK juga jentera media sosial DAP melaung-laungkan dengan mudah dapat menumbangkan Mah sekali gus menimbulkan rasa meluat di kalangan pengundi tempatan.

Ketidaksepakatan dasar dalam pakatan pembangkang seperti isu hudud serta isu peribadi Dyana yang dibayangi penyertaan ibunya dalam Perkasa, jelas antara faktor menyumbang kepada kemenangan Mah.

Di pihak BN pula walaupun masih terus bergantung kepada kaedah kempen lama, yang mudah dipatahkan jentera pembangkang, sehingga ada yang menyatakan parti masih dibayangi dengan strategi kempen zaman dulu kala, sokongan pengundi tempatan jelas memihak kepada Mah.

Tetapi kedudukan Mah pasti tidak selamat, jika pengundi luar pulang mengundi Sabtu lalu, sesuatu yang sebenarnya tidak dijangka pucuk pimpinan DAP dalam berdepan dengan PRK Teluk Intan.

Apa yang pasti dalam tempoh empat tahun akan datang sebelum rakyat sekali lagi mendapat mandat mengundi dalam PRU14, BN dan Umno perlu terus bersedia dan membuktikan mereka benar-benar berubah untuk rakyat.

Namun dengan pelbagai isu yang akan terus dipermainkan pembangkang termasuk yang dekat di hati rakyat seperti kenaikan kos sara hidup dan rasionalisasi subsidi, BN serta Umno akan terus berada dalam mod bertahan.

Pada masa sama, ingin saya tegaskan PRK Teluk Intan hanya sebuah pilihan raya kecil dan dengan semua kekuatan, keperluan selain jentera parti serta kerajaan ditumpukan kepada satu kempen pilihan raya sudah pasti ia jauh berbeza dengan menghadapi PRU.

Tanpa perubahan menyeluruh sama ada membabitkan jentera kerajaan dan parti, PRU14 bukan mimpi indah buat BN dan Umno jika dilihat kepada trend semasa dan pola pengundi separa bandar yang berlaku dalam PRK Teluk Intan. – 5 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.