Surau Darul Saadah anjurkan Kempen Derma Darah, Pemeriksaan Kesihatan

0

SARIKEI: Surau Darul Saadah bersama Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Timur Taman Susur Jambu Indah Sarikei dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Bahagian Sarikei telah menganjurkan Kempen Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan, semalam.

Pengerusi Surau Darul Saadah Musa Tamam berkata, program berkenaan merupakan salah satu aktiviti dan tanggungjawab sosial pihak surau dan KRT.

“Objektif utama program ini dianjurkan adalah untuk membantu pihak Hospital Sarikei amnya mendapatkan bekalan darah untuk Tabung Darah Hospital Sarikei.

“Seperti yang kita sedia maklum pada masa kini, bekalan darah amat diperlukan di semua hospital, berikutan keperluannya yang kian meningkat pada setiap hari untuk menyelamatkan nyawa manusia yang memerlukannya.

“Atas rasa tanggungjawab terbabit, kami telah memilih program ini sebagai pembukaan tirai aktiviti kami pada tahun ini, terutama dalam membawa kepada kebaikan dan manfaat bersama,” kata Musa ketika ditemui media pada program tersebut semalam.

Program itu telah dilangsungkan di Dewan Serba Guna Surau Darul Saadah Taman Susur Jambu Sarikei.

Menurut Musa, bagi pihak surau aktiviti ini adalah kali kedua dianjurkan.

“Untuk tahun ini, ia adalah aktiviti yang pertama kami anjurkan. Namun demikian dalam perancangan kami pada tahun ini, kita akan berusaha menganjurkan lebih banyak program serupa pada masa akan datang, asalkan mendapat sokongan dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada semua pihak,” ujar Musa.