Waythamoorthy perlu henti salahkan PM

0

KUALA LUMPUR: Pen-gerusi HINDRAF P. Waythamoorthy diminta berhenti menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tindakannya meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini.

Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia Datuk R.S. Thanenthiran berkata tindakan itu tidak lebih daripada sekadar menutup kelemahannya selepas memusnahkan harapan masyarakat India apabila gagal bekerja bersama kerajaan untuk membawa perubahan kepada komuniti itu.

Beliau berkata Waythamoorthy jelas gagal menggunakan ‘peluang keemasan’ yang diberikan Najib, se-baliknya cuba menggunakan kedudukan sebagai timbalan menteri untuk menjadi ‘penentu kuasa’ kepada masyarakat India dengan membuat pelbagai tuntutan tanpa memahami prosedur yang perlu diikuti.

“Waythamoorthy gagal untuk memahami tanggungjawab sebagai timbalan menteri, sikap tidak matang politik dan tiada kesedaran membuatkan beliau bertindak melulu dan berkelakuan seperti seorang ketua NGO (badan bukan kerajaan).

“Kedegilan beliau bekerja mengikut sistem yang di-amalkan dalam pentadbiran kerajaan membawa kepada kegagalan, sekali gus membawa kepada peletakan jawatannya pada 10 Feb lepas,” kata Thanenthiran kepada Bernama di Wisma Bernama, di sini semalam.

Thanenthiran berkata Waythamoorthy sebenarnya tidak berminat untuk membela kaum India, malah tidak pernah menyertai mana-mana perjumpaan awam bagi merangka pelan untuk membela masyarakat itu sepanjang bergelar timbalan menteri.

Beliau juga mempersoal-kan rasional pemimpin HINDRAF itu meminta dana bagi kementeriannya, serta mahu mengambil kakitangan seperti yang dilaporkan, sedangkan perkara itu tidak pernah menjadi amalan kepada mana-mana kerajaan.

Waythamoorthy juga tidak menghormati peranan parti komponen yang mewakili masyarakat India dalam Barisan Nasional (BN), malah tidak pernah bertemu mereka sepanjang berada dalam kerajaan sebaliknya cuba mempamerkan ‘keperwiraan politiknya’ secara bersendiri-an kepada perdana menteri, katanya.

Berhubung permintaan Waythamoorthy yang mahu Najib berundur hanya kerana didakwa tidak memenuhi tuntutan beliau, Thanenthiran berkata tindakan itu sesuatu yang amat memalukan, apatah lagi dibuat ke atas orang yang memberinya peluang untuk berbakti kepada kaum sendiri.

“Sepatutnya perlu ada rasa terhutang budi, bukannya meminta sesuatu yang melampaui batas…tetapi saya yakin masyarakat India amat menghargai keikhlasan Perdana Menteri dan kerajaan, dan mereka tidak akan terpengaruh dengan pemimpin berfikiran sempit seperti Waythamoorthy,” katanya.

Waythamoorthy, anak kelahiran Kelantan merupakan pemimpin masyarakat India dari badan bukan kerajaan yang pertama dilantik sebagai timbalan menteri. — Bernama